Lela Sembah PSSGSPM

SELANGKAH KE HADAPAN LELA SEMBAH -
PERSATUAN SENI SILAT GERAK SEJATI (TERENGGANU) MALAYSIA.


Bahawasanya Teras kepada Seni Silat Melayu Asli Sejati - Persatuan Silat Gerak Sejati ialah Seni Silat Seri Rama dan Seni Silat Belebat Lian [Silat Belian] dan Silat Pukulan Tujuh Hari iaitu tiga aliran silat `TUA` pusaka seni beladiri Melayu-Nusantara dan beberapa silat asli Melayu yang lain dan juga silat-silat Melayu bersenjata tradisi yang khas seperti Silat Keris lok 13, Silat tongkat, silat tekpi dan lembing-tombak Melayu sejati.
Tiga aliran utama silat asli Melayu yang tersebut di atas dan beberapa jenis yang lain lagi telah digabung-jalinkan dan dipadu-suaikan semua aspek falsafah dan tekniknya dalam pembelajaran (Silibus) Seni Silat Melayu Asli Sejati oleh Pak Guru SSMAS dan Penaung Persatuan Silat Gerak Sejati (Trg) Malaysia. Justeru itu Seni Silat Melayu Asli Sejati [SSMAS] adalah hasil Ringkasan pelajaran daripada berbagai jenis seni silat Melayu-Nusantara yang asli daripada pembelajaran di bangsal gelanggang yang beliau (Ustaz/Pak Guru) pelajari dengan resmi daripada guru persilatan beliau bukan rekacipta baru dalam Falsafah dan gerakan persilatan kerana ianya masih mengekalkan segala unsur yang aslinya tetapi menjadi `Anak benih` (Anak butir) yang zohir melalui beberapa padusuaian atau dan gabungjalinan pelajaran daripada bebarapa keturunan silat asalnya yang asli terdahulu dengan beberapa jenis gerakan tari, pola jurus dan pukulan serta kuncian yang lebih mantap. Contohnya, oleh kerana Seni Silat Seri Rama (Asal dari Melayu-Nusantara) dan Seni Silat Gayang Lian Lima (Asal dari Yunan-Islam) dan Silat Pukulan Tujuh Hari (Asal Melayu Islam Nusantara ) yang ada kaitan dengan zikir pas-i anfas yakni zikirullah dengan mengatur gerak nafas bersama zikirullah dalam masa bergelanggang tujuh hari itu yang tidak diketahui siapakah pendekar pencipta mulanya maka tidak ada hak pada hari ini seseorang itu mengaku bahawa salah satu atau ketiga-tiga aliran seni Silat Tua ini dan lain lain itu (kalau tidak tertua pun) adalah hak monopoli perguruannya sahaja.
Oleh yang demikian, seseorang yang telah belajar aliran silat `Tua` seperti ini ia bebas melakukan padusuai mengikut pertimbangan akal budi kepakarannya untuk tujuan dinamika penambahbaikan atau memperkasakan lagi teknik silat warisan persilatan Melayu tetapi mestilah memelihara keasliannya jangan sekali kali pendiri itu merosakkannya sebagai suatu tanggungjawab dan berterimakasih serta beramanah kepada leluhur ilmu persilatan yang terdahulu yang semestinya tidak akan rela melihat hasil ciptanya disia-siakan atau dirosakkan oleh generasi kemudian. Contohnya, pengenalan terhadap adanya persenyawaan (padusuai) atau berlaku penggabungjalinan teknik dan falsafah dalam beberapa aliran seni silat itu dalam Seni Silat Melayu Asli Sejati boleh diperhatikan oleh orang yang arif dari tiga aliran silat tua saperti yang diulaskan dalam beberapa gerakan Sembah lela dan gerak pecah gelombang empat pedahatnya pecah tapak jurus dan gerakan teknik pukulannya dan lain-lain aspek persilatan  antaranya seperti berikut:
1. Dalam gerak tari Seri Rama ada gerak jurus gayang pecah tapak (S.G. Lian Lima) serta gerakan kencang (Pukulan 7 Hari).
2. Dalam kembang jari jemari (Seri Rama) ada berkepal tangan (S.G. Lian Lima) dan tumbukan kencang (Pukulan 7 Hari)
3. Dalam cantik gumalai menari (Seri Rama) ada pukulan keras (S.G. Lian Lima) ada elak peliasnya (pukulan 7 Hari)
4. Dalam tikam, tetak dan paras (Seri Rama) ada Setun, sembat, tajian jantan (S.G. Lian Lima) ada lutut gulong (Pukulan 7 Hari)
5. Dalam acah mengacah tangkap menangkap-kuncian (Seri Rama) ada helah muslihat (S.G. Lian Lima) ada siku tendas (Pukulan 7 Hari).
6. Dalam gerak undur dan mara (Seri Rama) ada libasan dan tajian jantanan  (S.G. Lian Lima) dan elak atau rempuh (Pukulan 7 hari)
7. Dalam gerak amok `lompatan` (Seri Rama) ada kedudukan kukoh kemas (S.G. Lian Lima) dan kepantasan serangan (Pukulan 7 hari-peringkat bersenjata).
Allah SWTlah Yang Maha Bijak lagi Maha Perkasa dari segala segalanya.
Wallahualam.

MENYELUSURI SEJARAH RINGKAS SENI SILAT TARIAN SERI RAMA.
BILAKAH mula terciptanya Seni Silat Seri Rama? Siapakah pendekar penciptamulanya? Adakah ia lahir semasa dengan popularnya citrawara persembahan wayang kulit dalam masyarakat Melayu-Nusantara yang sering memaparkan kisah kepahlawanan Seri Rama dan Laksamana? Hiburan wayang kulit telah wujud di Nusantara semenjak zaman Hinduisme lagi. Kalau begitu mungkin juga Seni Silat Tarian Seri Rama telah wujud semenjak Nusantara belum mengenali agama Islam lagi. Namun sejarah ada tercatat bahawa citra hiburan wayang kulit sebagai alat dakwah islamiah para Wali Songo (Indonesia) mengambil peranan penting dan cerita Seri Rama yang masyhor semenjak zaman hindu itu sangat mempengaruhi penyampaian dakwah para wali sembilan terutama dalam menekankan pengertian secara simbolik dalam pengajian `Ilmu Hakikat`. Jadi bilakah mula terciptanya Seni Silat Seri Rama? Adakah mula terciptanya pada zaman Hindu di Nusantara atau pun sesudah sampainya agama Islam di Nusantara?. Hepotesis yang boleh dibuat ialah semasa zaman persembahan cerita kepahlawanan Seri Rama dalam pertunjukkan hiburan wayang kulit mendapat tempat paling popular dalam masyarakat Melayu-Nusantara di suatu masa yang lampau. Ketika itulah lahirnya seorang pendekar penciptamula Seni Silat Seri Rama. Aliran silat Seri Rama di terima oleh guru utama dari Guru Tua Pendekar Mat Hassan Undang. Pendekar Mat Hassan menerima dari Tuan Guru Pendekar `Salleh Seri Rama`. Selepas itu terputus susur galur guru aliran silat ini. Terdapat kisah yang menarik ada tersebut dalam buku sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang yang menyebut bahawa Hang Tuah tika remajanya apabila ia bermain-main dengan sahabat-sahabatnya sama muda, ia menyinsing lengan bajunya dan membuka langkah silat lalu ia  memengkis dengan katanya, `Chis, Laksamana lawan ku`. Di sini menunjukkan bahawa zaman Hang Tuah epik Ramayana dan kependekaran `Laksamana` telah amat berpengaruh dalam masyarakat Melayu zaman tradisi. Laksamana dalam epik Ramayana adalah adik kepada Raja Seri Rama yang beristerikan Sita Dewi. Laksamana itu adalah saorang pahlawan handal yang amat setia pada rajanya. Maka `Laksamana` telah menjadi idola dalam semangat kesateriaan Hang Tuah sebab itulah beliau orang pertama dalam sejarah bangsa Melayu di kurniai gelaran `Laksamana` oleh Sultan Melayu Melaka yang kemudian daripada beliau menjadi gelaran pula kepada ketua angkatan laut Negeri-Negeri Melayu. Hinggalah kepada hari ini bahawa ketua armada Malaysia modern diberi gelaran `Laksamana` juga. Kalau begitu bolehkah kita buat satu telahan bahawa pendekar mula mencipta tarian Silat Seri Rama ialah Laksamana Hang Tuah? kenapa tidak diberikan nama Silat Laksamana? Hal ini boleh jadi kerana nama popular tajuk penayangan wayang kulit zamannya dan zaman moden disebut pada mula kepala ceritanya oleh Tok Dalang ialah `Cerita Seri Rama` atau pun dari satu aspek lain ialah kerana untuk melambangkan suatu rasa kesetiaan Laksamana kepada Rajanya Seri Rama maka begitulah juga Hang Tuah terhadap rajanya. Demikianlah terciptanya nama satu dari beratus-ratus jenis silat Melayu Asli Nusantara disebut `Seni Silat Seri Rama`. Kaitan Silat Bunga Hang Tuah dengan Silat Seri Rama hanya suatu andaian dalam perbincangan ini, bukan melalui fakta jelas dan sebenar. Tiada seorang pun hingga kini boleh mendakwa bahawa silatnya adalah keturunan silat Hang Tuah melalui satu salasilah yang tepat. Sejarah tidak halal direkacipta kerana seolahnya membohongi diri sendiri dan dunia.
Wallahua`lam.

SEJARAH  SILAT BELEBAT LIAN atau SILAT BELIAN
Mengikut riwayat dari mulut ke mulut, guru ke guru Seni Silat Gayang Lian Lima berasalnya dari negeri Islam Yunan-Purba. Dibawa ke Nusantara oleh seorang pedagang dan pendakwah bernama Syeikh Abd. Rahman al-Yunani. Pengembaraannya dari Sumatra hingga ke Singapura membawa beberapa peristiwa pergaduhan di jalanannya. Kerana kehebatan buah pukulnya beliau kemudiannya menjadi guru kepada beberapa ramai pencari ilmu beladiri di Pulau pusat perdagangan Asia Tenggara itu. Salah seorang murid beliau bergelar `Tok Perpat Panglima Hitam` yang telah pun mahir dalam silat aliran tempatan iaitu Silat Belebat Jemaja Bentan. Aliran asal tradisi Yunan ini mengalir juga ke Terengganu melalui seorang pendekar yang arif iaitu Tengku Jaafar Dungun iaitu murid kapada Tok Perpat Panglima Hitam dengan nama Seni Silat Belebat Lian. Bermula dari beliaulah berkembangnya aliran Lian Yunan yang bersepadu dengan silat aliran tempatan iaitu Silat Belebat Jemaja Bentan di sebelah pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Perkembangannya melalui ruang masa yang panjang dan berbagai murid yang menerima pelajaran Silat Lian Yunan daripada guru masing-masing, mengalami banyak versinya pada nama dan banyak versi juga pada silibusnya di dalam perguruan-perguruan yang sealiran dengannya di Malaysia hari ini oleh beberapa faktor tertentu. Sebutan nama yang berbeza itu seperti Silat Belebat Lian, Silat Lian, Silat Lian Yunan, Silat Bunga Yunan, Pukulan Mersing, Pukulan Dungun, Buah Pukul Mersing, Buah Engku Jaafar, Silat Tok Perpat Panglima Hitam, Silat Gayang Lima, Silat Gayang Lian Lima, Buku Belebat, Bunga Yunan dan lain-lain namanya lagi. Mohon maaf jika penerangan ini tidak dipersetujui oleh perguruan-perguruan berkaitan yang disebutkan di sini.
Untuk keterangan lanjut mengenai SENI SILAT BELEBAT LIAN (BELIAN) sila klik pada tajuk tersebut atau lihat pada senarai di muka depan laman web ini http://www.geraksejati.co.cc/, Terima kasih.

LAIN RANTAIAN SENI BERSENJATA PSSGS ialah aliran dari perguruan Keris lok 13 dengan 7 buah keris pertama 7 buah keris kembangan dan 7 buah keris dengan rahsia serangan (jumlah 21 buah). Perguruan Kuntau Tekpi Melayu, Perguruan Seni Silat Tongkat Panjang Melayu dan Gerak Lembing – Tombak Panji Alam Pendekar, Silat Melayu Pukulan 7 Hari serta lain-lain lagi yang tidak didedahkan di laman ini, mungkin di suatu ketika atau dipaparan yang lain.

Wallahu a`lam.